Sunday, March 20, 2011

Bersih, kemas, bersih, kemas....Bersih!



Salam di hari Ahad yang indah! Bagi anak-anak yang baru meningkat remaja, gambar kartun Disney diatas tentu akan mengimbaskan filem animasi diminda mereka - Pocahontas, anak gadis kepada ketua kaum etnik Amerika yang bernama Powhatan. Filem yang ditayangkan pada tahun 1995, mungkin masa itu mereka ini masih kecil.

Yang sering saya jadikan contoh buat anak-anak saya disini adalah sifat baik yang dimiliki oleh Pocahontas - dia yang mencintai kedamaian, keindahan alam semula jadi yang mempunyai kehidupan dan kerohanian, kebersihan dan bumi yang tidak tercemar.

Terutamanya KEBERSIHAN. Kebersihan itu amalan kita semua. Rasulullah SAW sendiri bersabda bahawa “Kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman”. Dan ia merupakan imej Islam. Saya dan Cahaya saya, melatih anak-anak kami untuk menjadikan kebersihan sebagai salah satu prinsip hidup yang penting.

Kebersihan yang lengkap merangkumi kebersihan diri dan kebersihan dalaman. Kebersihan luaran - badan, rambut, kaki, tangan, gigi, telinga dan semuanya hendaklah sentiasa bersih. Cuci tangan dengan sabun sebelum makan, berus gigi 3x sehari dan sebagainya. Kebersihan rumah termasuk tempat solat, kawasan rumah, longkang - semuanya kebersihan luaran. Kebersihan dalaman pula adalah bersifat kerohanian. Kebersihan hati dan jiwa agar sentiasa berpaksi kepada Islam, menurut perintah Allah SWT dan ajaran Rasulullah SAW. Dengan kebersihan total ini, insya Allah maka aman damailah kehidupan kita dan baru kita mampu menuju kearah kemenangan hidup di dunia dan di akhirat.

Buat waktu ini, kami tidak mempunyai amah untuk membuat kerja-kerja rumah. Kalau dulu, semua bersih membersih, cuci mencuci dan kemas mengemas adalah kerja amah. Sekarang bila amah balik kenegerinya setelah tamat tempoh kontrak, kelam kabutlah juga jadinya apabila harus ‘mengambil alih’ tugas-tugas rumah…. Tapi jika direnung sedalamnya, ada banyak hikmahnya. Bila kerja-kerja memasak dan kerja-kerja rumah yang lainnya kita buat dengan tangan kita sendiri, kita dapat gerenti kebersihannya. Segalanya lebih teratur, lebih rapi dan malah lebih menjimatkan juga!

Alhamdulillah, sekarang hampir sebulan kami tidak beramah. Segala kerja rumah kami lakukan bersama. Sudah tentu saya sebagai ibu perlu memainkan banyak peranan, begitu juga si Cahaya sebagai ketua keluarga. Dialah segalanya bagi kami, dan memastikan segalanya cukup dan terjaga dengan elok untuk kami. Si Kaka, anak kami yang sulung pun banyak membantu dalam hal ini…. Dan kami sangat bahagia anak beranak. Syukur Alhamdulillah.